Isnin, 7 April 2014

120314

Seekor burung,
mati kepanasan.

Antara dahaganya,
dan sebuah pembangunan.

Matahari terik,
burung hilang teduhan.

Lalu ditengah jalan,
ia mati,
tanpa dikasihan.

Khamis, 23 Januari 2014

crpn - Akhir.

Akhir-akhir ini, akal dan fikiran saya sering dibayangi oleh seraut wajah yang muda, tetapi jelas kekaburannya.

Matanya bersih putih - tidak kuning yang bererti tidak sihat. Hidungnya pula sedikit penyek ke dalam, dan bibirnya tebal kegelapan. Saya melihat wajah itu di mana-mana selepas namanya disebut-sebut semula.

Ketika itu saya masih kecil. Kali terakhir saya melihat wajah yang segar itu ketika saya masih kecil. Barangkali umur saya pada waktu itu adalah lingkungan empat ke lima tahun. Benar-benar muda.

Dan pada waktu itulah pemilik raut wajah yang saya maksudkan sedang ditarik ke halaman rumah dan dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan orang muda. Masing-masing bersenjata belaka. Ada yang memegang kayu, ada yang memegang batang besi dan bermacam-macam lagi. Tangan mereka semua gatal dan tidak duduk diam membedil tubuh yang senyap dan kaku itu.

Saya – seorang kanak-kanak yang tidak mampu untuk bersikap mahu, sedang berlindung menyorokkan diri di belakang pintu, antara takut dan berani sambil mengulang-ulang tangis yang sangat panjang.

“Wohh, Wohh,” saya menangis.

Woh – adalah datuk saya. Datuk di sebelah ayah. Saya tidak pernah tahu mengapa kami memanggilnya sebagai Woh.

Pada petang ketika Woh di pukul di halaman rumah itu, Mek – nenek saya dan ayah berkejar ke bawah menahan pukulan demi pukulan yang singgah ke badan Woh. Woh hanya diam, walaupun matanya tidak pejam. Ayah menjadi dinding buat Woh apabila kata-kata penenang kepada sekumpulan orang muda itu tidak lagi berkesan.

Setelah kepala ayah berdarah, dan seluruh belakang Mek lebam-lebam, sebuah kereta Polis sampai dan terus membawa Woh pergi.

Pergi ke mana, saya tidak tahu. Yang saya tahu hanyalah sebuah ucapan perlahan yang sempat Woh bisikkan di telinga, ketika saya dengan hingus-hingus yang berlelehan itu, mengejarnya yang makin lama, makin hilang.

Beberapa hari lepas, iaitu dua puluh tahun kemudian, Woh muncul di pintu rumah. Saya melihat Woh berdiri segak dengan sehelai baju kemeja putih. Di kepalanya yang botak itu tertutup kopiah putih yang sudah kekuning-kuningan.

Saya tidak mengambil masa yang lama untuk mengenalinya. Dengan gagah, dengan lari yang tersangat megah, saya memeluk Woh mencium Woh menangis di bahu Woh seperti dua puluh tahun yang lalu tanpa segan silu.

Woh sudah tidak kuat. Sudah tidak sihat dan sudah tidak hebat. Langkahnya perlahan, keningnya jatuh tersegan-segan dan pipinya ketara kejatuhan.

Sewaktu saya masih kecil, saya diberitahu oleh ramai orang bahawa Woh adalah seorang yang jahat. Dia mencuri, mengedar dan menghisap dadah serta bermacam-macam lagi umpatan yang lain. Saya mendengar jiran-jiran berbual sesama sendiri di beranda rumah mereka pada waktu petang, apabila saya melintasi rumah mereka untuk bermain di padang.

Dengan tidak tahu apa-apa dan masih merasa bahagia menjadi muda, saya berlari ke arah Cik Ku, dan menumbuk pipinya dengan penumbuk yang kecil ini. Dia terjatuh ke tanah dan bibirnya berdarah. Dua tiga orang jiran yang lain menghalang saya dengan pantas dan segera menjerit-jerit memanggil ayah, ibu, dan Mek.

Cik Ku bangun dari jatuhnya, dan menjerit-jerit seperti orang gila. Dia memarahi ayah kerana membiarkan saya keluar dari rumah seorang diri sedangkan anak lelakinya entah berada di mana. Dia memarahi ibu kerana tidak pandai menjaga saya sedangkan anak lelakinya itu setiap malam duduk bercangkung di belakang rumah yang gelap dengan anak dara yang berbeza-beza. Dia memarahi Mek, lalu sebelum sempat dia memarahi Mek, Mek datang ke depan dan menampar saya.

Mek menjerit dengan suara yang sangat kuat, memberi arahan supaya saya lekas masuk ke dalam rumah. Jari telunjuknya keras menunjuk ke arah pintu. Di pipinya ada air mata yang sedang mengalir.

Ketika beberapa hari yang lepas itu, iaitu dua puluh tahun kemudian, ketika Woh baru sahaja sampai di rumah, saya mengajak Woh berjalan-jalan. Woh berada di sebelah penumpang sambil merokok. Tingkap kereta ayah itu saya bukakan seluas-luasnya. Woh tidak banyak bercakap petang itu. Seperti dahulu juga.

Dua puluh tahun yang lalu, dalam beberapa waktu, Woh akan menghidupkan enjin motosikalnya dan pergi ke sesuatu tempat. Woh jarang ingin menaiki motosikal. Ke kedai, ke surau, malah ke kebun sekalipun, Woh akan berjalan kaki.

Namun begitu dia langsung tidak kelihatan penat.

Oleh itu, di setiap kali (yang jarang-jarang itu) Woh mula meletakkan punggungnya di atas motor, saya akan berlari dari dalam rumah dan melompat panjat ke atas motornya, lalu memeluk Woh sambil menyembamkan muka ke belakang badannya yang berbau masam kelapa itu.

Dia tidak pernah memarahi saya bertindak sedemikian. Langsung tidak pernah Woh menghalang saya sekiranya setiap kali dia ingin ke sesuatu tempat itu, saya berkeinginan untuk menaiki motosikal bersama-samanya. Kerana Woh tidak banyak bercakap. Dia lebih suka berdiam diri.

Walaupun begitu, degup jantungnya menceritakan semua perkara.

Apabila Woh yang pendiam itu membukakan mulutnya menerangkan sesuatu, saya akan pantas membisukan lidah. Cuba mendengar, meneliti dan seterusnya jika berkesempatan, memahami apa yang cuba disampaikan oleh Woh.

Tidak banyak juga perkara yang mampu saya ingatkan sepanjang berjalan bersama-sama dengan Woh. Cuma beberapa perkara penting sahaja yang menjadi ingatan saya ketika ini seperti pada satu waktu yang dahulu, Woh di atas motor dengan muka yang benar-benar mencuka. Saya mampu melihat riak wajahnya melalui cermin pandang belakang motosikalnya yang senget sedikit ke kiri.

“Macam perempuan!” kata Woh dengan suara yang sedikit kasar.

“Tak bersemangat. Lemah. Macam mana nak ajak semua orang bersatu? Macam mana nak ajak semua orang berjuang? Macam mana nak ajak semua orang bekerja? Macam mana nak bagi orang semua berkobar-kobar?” ulang Woh dengan macam-mana-macam-mana yang berpusing-pusing.

Ketika itu kami baru pulang dari solat Jumaat di Masjid Kampung Raja. Pada waktu itu, Kampung Baru masih tidak ada masjid. Yang ada hanyalah sebuah surau kecil.

“Itu membaca namanya. Nak mengajak orang untuk bersemangat ni, tak boleh membaca macam tu. Kena bersemangat, kena keluarkan apa yang kau nak cakapkan, kena luruh jiwa, gugur jantung untuk buat semua orang bertegas. Bukan kena baca skrip kertas yang boleh buat orang tidur!”

Ketika Woh mengatakan hal ini, kami berada di atas motor dan bunyi angin yang melanggar gegendang telinga saya sedang kuat dibaham cuaca. Tetapi suaranya masih jelas kelihatan, berbeza dengan Woh pada hari ini yang suaranya sudah perlahan menjadi gementar, seperti keras jarinya yang bergetar-getar.

Woh merokok sambil tidak henti-henti memandang ke luar tingkap kereta. Saya pula tidak tahu hendak berbual apa-apa. Oleh kerana kejanggalan itu terusan berlaku, saya akhirnya memberhentikan kereta di tepi sepetak sawah yang penuh dengan air kerana hujan telah turun pada malam semalam. Dan masih belum kering lagi airnya.

Saya keluar dari kereta apabila melihat Woh juga keluar dari kereta. Matanya yang sudah kuyu itu, tajam menekuni setiap lalang yang bergoyang, setiap air yang berkocak, dan dengan riangnya dia tersenyum melihat seekor belut sesat berada betul-betul di bahagian petak sawah yang sedang mengering.

Kemudian dia memandang langit, melihat awan yang cerah memandangnya seperti ingin menyumpah-nyumpah. Tetapi dia masih juga tersenyum, menghembuskan asap rokok melalui hidungnya yang sedikit penyek, kemudian memandang ke arah saya.

Kemudiannya Woh menuju ke arah kereta dan mengeluarkan sesuatu. Ianya adalah sebuah buku berwarna hitam dan sebatang pen (juga berwarna hitam).

Dia mula duduk bersila di atas tanah, dan kemudiannya menulis sesuatu dengan tangan yang berketar itu.

Saya hanya duduk di sebelahnya sambil merokok juga. Dan Woh terus-terusan menulis. Beberapa lama selepas itu, Woh yang sudah lama mengelamun, cuba mengutip perkataan-perkataan di udara untuk menterjemahkan tulisannya itu, bersuara.

“Belajar lagi?”

Ho, jawap saya. Belajar elok-elok. Bagi habis. Jangan separuh jalan, kata Woh dengan suara yang tersangat halus dan perlahan. Saya hanya ho, ho, ho dan menganggukkan kepala.

Lima hari kemudian, Woh meninggal dunia kerana sakit tua. Saya sendiri berada di depan doktor yang berwajah muram itu ketika ia menerangkan tentang apa yang terjadi kepada Woh. Saya sendiri yang memandikan jenazah Woh sebelum saya sendiri (dan ayah) yang menurunkannya ke liang lahad.

Tapi setelah seminggu dari hari kematian Woh, ayah memberitahu saya bahawa masyarakat sekeliling percaya bahawa Woh bukannya mati kerana sakit tua tetapi kerana penyakit yang dialaminya akibat kehidupan mudanya yang lampau.

Walaupun saya terlampau geram dan hampir-hampir lelah berteriak di meja makan pada waktu itu, tetapi Woh telah mengajar saya sesuatu – untuk berdiam diri apabila perlu.

Mek memberikan saya sesuatu ketika saya sedang berteleku di depan rumah. Sebuah buku nota berwarna hitam. Buku nota milik Woh. Saya mencapainya perlahan dan membuka setiap helaian yang sudah pun berkuning.

Di hujung penjuru kiri sebelah atas helaian muka surat di buku tersebut ada dituliskan tarikh. Saya melangkau tulisan-tulisan terdahulu dan membaca beberapa tulisan terawal sebelum Woh meninggal dunia.

*

11 . 03 . 11

Menangis adalah,
sebuah seniman yang terakhir.

Menjalani kehidupan ini,
tidak perit dan gentir.

Ataupun sekurang-kurangnya berilah aku,
sebuah kepahitan yang jitu.

Dan di sawah yang banjir ini,
oh Tuhan –
Kau berikan lah aku kesakitan.

Kerana kehitaman ini sudah jelik,
sudah pun dengan diri ku; pelik.

Awan sedang berlaga dan;
tahi kambing sedang dijaja.

Hidupkan lah aku semula,
menjadi seekor manusia yang hina,
menjadi seekor manusia yang berdosa,
pantas mencari Mu di sebalik awan,
yang berlaga di sebalik langit,
tak bersyurga.

Atau sekiranya ini adalah yang terleka,
dan akulah yang sebenarnya pendusta,
maka Kau ampunkan dia.

Sesungguhnya,
kipas yang besar itu,
sudahpun patah bilahnya,
bersatu menjadi debu-debu hanyir,
yang berlendir.

Ampunkan aku -
ya Tuhan.






















Ahad, 19 Januari 2014

190114 - Pra-pesan Seorang perempuan di Jalan Alor.


Macam biasa, kalau tak suka whatsapp, boleh email ke petak.daud@gmail.com.

Terima kasih.

xoxo