Khamis, 9 Mei 2013

Pada larut air matanya.

Lalu tiba-tiba pada malam ini, dia mahu alami pesawat yang selama ini saya naiki. Dia mahu memakai kasut yang selama ini saya sarungkan. Dan dia mahu merasai setiap titis peluh yang terhambus keluar kerananya.

Apa lagi yang perlu saya katakan, apabila dia tiba-tiba berlaku aneh, meminta saya untuk turun semula ke bawah apabila saya sudah benar-benar hampir dengan tangga yang terakhir? 

Dia mengulang beberapa kali tentang waktu kanak-kanak kami yang sering dipaksa nusa dan kedua-dua orang tua untuk berlaku begitu, berlaku begini dan tidak henti-henti bermuhasabah diri?

Meja dan kerusi menjadi sunyi ketika ini. Dia sedang berhadapan dengan saya dan bibirnya menggeletar seperti ingin menjelaskan sesuatu yang benar, dan sangat rumit.

Ah, sesuatu kebenaran memang sepertinya selalu merumitkan, kan?

Dia membelai leher saya perlahan-lahan, seperti tidak pernah dia lakukan sebelum ini. Dia mahu menyeka air matanya yang turun pantas dari takung kelopak air matanya. Tetapi, bagaimana? Kedua-dua tangannya masih sayu dan lembut membelai leher saya, membelai ubun-ubun saya, dan seterusnya dengan tekun dan santun, meramas dan mengaturkan setiap helai rambut saya kemas-kemas.

Dia tidak punya tangan yang lain, untuk menyeka air matanya yang sudah pun jatuh, perlahan dan tertunai terus menghancur lantai.

Dia tidak punya tangan yang lain. Sama lah seperti satu waktu yang dahulu, ketika dia juga tidak punya tangan yang lain untuk menyelamatkan saya apabila tangan-tangan yang terutamanya sedang lupakan dunia dan asyik terus memukul setiap inci belakang badan saya.

Dan pada malam ini, waktu ini, dia seperti sedang mengucapkan kesyukuran kerana mampu untuk berbuat begini. Sekurang-kurangnya dia mahu sedikit mengerti, tentang apa yang saya lalui selama ini.

Tubuh saya mengeletar dan bibir saya tidak henti-henti menahan arus debar yang menggelepar.

Saya lihat wajahnya seperti pari-pari, atau malaikat yang senantiasa suci. Tapi saya masih tidak mengerti. Apa yang sedang dicarinya pada waktu ini.

Cuma pertama kalinya ketika saya membuka pintu rumah dan ingin naik ke bilik, dia perlahan-lahan bicara tanpa melihat terus ke anak mata saya.

Dia mahu alami pesawat yang selama ini saya naiki. Dia mahu memakai kasut yang selama ini saya sarungkan. Dan dia mahu merasai setiap titis peluh yang terhambus keluar kerananya.

Dia cuma mahu. Kerana selama ini saya sudah lama termampu.

Tiada ulasan: