Isnin, 11 Oktober 2010

Aku.

Assalamualaikum w.b.t.

Minggu lepas, saya sedang berjalan di sebuah lorong gelap. Ada seorang lelaki berbadan besar menghalang laluan saya. Dia tidak berkata banyak, lalu menghulurkan sepucuk pistol dan sebilah pisau kepada saya.

"Bunuhlah orang yang paling kau benci," lelaki itu berkata.

"Aku tak ada orang yang dibenci," saya membalas.

"Jadi, bunuhlah orang yang paling kau sayang," lelaki itu berkata lagi.

"Tiada sebab untuk aku membunuh orang yang paling aku sayang," saya membalas lagi.

"Bunuhlah pula musuh kau yang utama," lelaki itu berkata lagi, lagi.

"Siapa musuh aku lagi, selain syaitan?" saya membalas lagi, lagi.

"Jadi, bunuhlah pula orang yang paling kau sanjungi," lelaki itu berkata lagi, lagi, lagi.

"Kenapa harus aku membunuh manusia yang paling aku sanjungi?" saya membalas lagi, lagi, lagi.

"Kau akan tahu mengapa," lelaki itu berkata, dan terus berlalu pergi.

Saya meletakkan pistol di dalam kocek, dan menyorokkan pisau di celah seluar. Saya berjalan di tengah kepekatan malam.

Tiba-tiba, saya ternampak sebuah rumah yang terbuka pintu dan tingkapnya, dan bercahaya dengan lampu yang terang benderang. Saya masuk melalui pintu utama, dan pergi ke sebuah bilik yang pintunya ternganga luas. Saya nampak ada seorang lelaki sedang tidur meniarap. Saya duduk di atas badannya, meletakkan pisau di lehernya, dan menghiris laju-laju. Tapi, orang itu diam sahaja. Tidak tersentak. Seperti tidak sakit. Saya berlari laju meninggalkan rumah itu.

Esoknya, saya pergi sekali lagi ke rumah berkenaan. Sama seperti semalamnya, seluruh pintu dan tingkap rumah itu terbuka luas. Lampunya terpasang semua. Saya masuk melalui pintu utama, dan pergi ke bilik yang saya masuki semalam. Saya nampak ada seorang lelaki sedang tidur meniarap. Di leher lelaki itu terdapat satu jahitan yang panjang dan sangat tidak kemas. Seperti di buat dalam keadaan tergesa-gesa. Saya tidak pedulikan perkara itu. Terus sahaja saya meletakkan muncung pistol benar-benar di kedudukan cerebellumnya, dan menembak. Meletup. Tapi orang itu diam sahaja. Tidak tersentak. Seperti tidak sakit. Saya terkejut. Dan takut. Saya berlari laju meninggalkan rumah itu.

Tapi, itu cerita minggu yang lalu. Pistol dan pisau yang saya gunakan pada waktu itu, telah saya buang ke dalam longkang di tempat yang tersorok. Saya harap, pihak berkuasa tidak dapat menjumpai semua benda itu. Harap-haraplah.

Semalam, waktu saya tengah tidur, ada orang datang himpap belakang saya, acu kan muncung pistol benar-benar di kedudukan cerebellum saya, dan menembak. Meletup. Tapi saya tak rasa sakit. Saya pusing ke belakang, dan lihat orang itu sudah tiada. Tapi, tilam penuh dengan darah. Belakang kepala saya berlubang. Ada sebiji peluru tersesat di dalam tengkorak saya. Saya tak cakap banyak, terus cungkil dengan pensil, letak peluru tepi tingkap, dan sambung tidur.

Kelmarin, waktu saya tengah tidur, ada orang datang himpap belakang saya, letakkan mata pisau yang tajam benar-benar di leher saya, dan menghiris laju-laju. Zrup-zrap-zrup-zrap, saya dengar. Tapi saya tak rasa sakit. Saya pusing ke belakang, dan lihat orang itu sudah tiada. Tapi, tilam penuh dengan darah. Leher saya hampir putus. Leceh betul. Saya ambil benang warna hitam, dan jahit semula tempat yang koyak, dan sambung tidur.

Di dalam tidur itu, saya bermimpi, didatangi seorang lelaki yang pernah memberikan pistol dan pisau kepada saya ketika saya melalui jalan yang gelap pada minggu lepas.

Lelaki itu berkata, "Tahniah, kau telah cuba untuk membunuh orang yang paling kau benci,"

Saya hairan, "Ha?"

Lelaki itu berkata, "Tahniah, kau telah cuba untuk membunuh orang yang paling kau sayang,"

Saya hairan, "Ha?"

Lelaki itu berkata, "Tahniah, kau telah cuba untuk membunuh musuh kau yang utama,"

Saya hairan, "Ha?"

Lelaki itu berkata, "Tahniah, kau telah cuba untuk membunuh orang yang paling kau sanjungi,"

Saya hairan, "Ha?"

Saya terjaga dari tidur. Badan saya berpeluh-peluh. Saya berdebar-debar. Dada saya berombak-ombak. Saya terkejut. Ada seorang lelaki yang yang pernah memberikan pistol dan pisau kepada saya ketika saya melalui jalan yang gelap pada minggu lepas, berada di samping saya. Kali ini saya tidak bermimpi lagi.

Lelaki itu berkata, "Orang yang paling kau benci,"

Saya menjawab, "Siapa?"

Lelaki itu berkata, "Orang yang paling kau sayang,"

Saya menjawab, "Siapa?"

Lelaki itu berkata, "Musuh kau yang utama,"

Saya menjawab, "Siapa?"

Lelaki itu berkata, "Orang yang paling kau sanjungi,"

Saya menjawab, "Siapa?"

Lelaki itu duduk disebelah saya. Dia tidak memberi sebarang jawapan. Tapi, agaknya saya sudah tahu. Jadi, saya halau dia keluar dari bilik, dan menyambung tidur. Sewaktu tidur, saya bermimpi perkara yang sama. Bermimpi lelaki yang sama. Bermimpi soalan yang sama. Bermimpi jawapan yang sama. Dan semuanya sama. Di dalam mimpi itu juga, saya berteriak sekuat-kuatnya.

"SIAPA YANG KAU MAKSUDKAN!!!"

Dan apabila jeritan itu tamat, saya terjaga. Mata saya terbuka terus, memandang siling. Saya bangkit perlahan-lahan, menyentuh lubang yang dimasuki peluru. Mengusap leher yang dijahit sendiri, dan memandang dinding.

"Aku,"


Tiada ulasan: