Khamis, 7 April 2011

Terlena terjaga tertidur dan bangkit.


*Terima kasih 'gelas pecah' untuk gambar tanpa minta izin. Harap awak doakan saya selamat.

Saya terjaga dari tidur saya, yang hanya sementara. Saya lihat jam di telefon bimbit. Selalunya begitulah. Jam di dinding sudah tidak saya pandang. Malah tidak lagi saya tahu bahawa baterinya masih ada atau tidak untuk jam itu bernyawa dan memusing terus jarum-jarum besinya. Saya tidak tahu, entah masih bernyawa atau tidak jam di dinding itu. Yang saya tahu, jam di telefon bimbit sedang tepat pukul empat pagi dan sembilan minit.

Saya terjaga dari tidur saya, dan memandang komputer riba, dan baru saya sedari, ia masih lagi terpasang. Saya segera menggerak-gerakkan tetikus-sentuh agar warna hitam yang pekat di skrin, kembali berwarna dengan pelbagai-pelbagai citarasa dunia.

Saya terjaga dari tidur saya, dan terasa sesuatu. Terasa seperti saya ini sedang sunyi. Mungkin itu, adalah satu kebiasaan untuk saya apabila terjaga dari tidur awal pagi begini. Tapi, kali ini, rasa sunyi ini, atau sepi ini, berbeza benar.

Saya terjaga dari tidur saya, dan terasa sesuatu. Rasa sunyi, atau sepi. Dan perasaan ini menimbulkan satu kebangkitan tentang perkara-perkara yang saya tinggalkan, atau pergi meninggalkan saya. Saya termenung dan berfikir tentang semua perkara. Tentang semut-semut kecil yang melintas di depan mata saya. Entah bila mereka ini akan dicangkuk roh ke langit, dan bila lagi mereka ini berpeluang berkerja lagi.

Saya terjaga dari tidur saya, dan berfikir tentang siapa-siapa yang pernah saya sakiti dan menyakiti saya. Saya turut kenangkan siapa-siapa yang pernah pergi dan hadir dalam hidup saya. Saya terasa seperti di tengah satu padang yang sangat luas dengan semak-semak yang tinggi melutut. Dan padang yang sangat luas dengan semak-semak itu pula berada di atas gunung yang sangat tinggi. Lalu saya berteriak pada seluruhnya, dengan harapan mereka mendengar, agar saya tidak lagi berada di situ.

Saya terjaga dari tidur, merasakan, dan berdoa, agar saya tidak lagi di dalam kesunyian ini. Dan sekejap-sekejap, bunyi kucing bergaduh di belakang rumah, dan anjing yang menyalak melihat bulan bergerak, menarik saya kembali ke alam ini, realiti.

Saya terjaga dari tidur, dan kembali berdengkur.

Selamat malam, Tuhan. Izinkan aku tidur, lagi, malam ini.

Tiada ulasan: