Isnin, 8 Ogos 2011

Usman Awang - Tulang-Tulang Berserakan.

Untuk yang ke-berapa kalinya, saya tamat sekali lagi menghabiskan selembar cerita dari Usman Awang ; Tulang-Tulang Berserakan.

Dan, untuk yang ke-berapa kalinya, selepas tamat membaca ini, saya tertanya bahawa apa kah rasanya Leman sepanjang ia menjadi polis ini? Saya tertanya apakah pendiriannya yang sebenar hingga apabila ke penghabisan cerita, Leman ini bertekad dan berbisik di dalam hati ; Tinggal lah Melaka! Tinggal lah.

Saya tertanya lagi, apakah benar seperti yang disebut bahawa polis-polis yang memuntahkan peluru itu tidak sama prinsipnya dengan komunis-komunis yang turut meluruhkan belerang kencang ; polis - menembak pada siapa yang tidak dikenalinya kerana nafkah sehari-hari, komunis - menembak pada siapa yang tidak dikenalinya kerana perjuangan yang jati.

Saya tertanya lagi, apa kiranya kalau kita ini melawan penjajah, melawan British, melawan British yang membolot dan menarah sedikit-sedikit demi sedikit harta kekayaan bumi kita ini akan dianggap pengganas tetapi kita ini menentang anak bumi sendiri yang ingin merdeka akan dianggap 'bunga bangsa'?

Saya tertanya lagi, apakah perasaan tawanan/komunis Tiongha yang ditahan oleh anggota polis? Malah, apakah perasaan nya dipukul dan diherdik seperti anjing? Dan saya tertanya, mengapa di dalam situasi seperti itu, wajahnya masih tenang dan tidak terkecamuk dengan segala ketakutan atau debaran? Atau mengapa wajahnya tiada sesal kerana sudah di peringkat itu, dia sudah pun meninggalkan seorang isteri berserta seorang anak lelaki yang masih menetek susu ibunya?

Saya tertanya lagi, apakah yang difikirkan dalam layang imbas fikirnya si Wak Stop, Majid, Mamat atau lelaki Tiongha yang kurus tinggi itu sebelum mereka ditarik roh meninggalkan jasad? Apakah Wak Stop, seorang lelaki tua, Majid atau Mamat, dan lelaki Tiongha itu rela dengan perginya mereka dari dunia sebagai pejuang pada fahaman mereka sendiri?

Saya tertanya lagi, apakah selepas kaki Ujang dipotong dan tidak lagi dapat berfungsi, dia akan masih berkerja di kampungnya ; Negeri Sembilan? Saya tertanya, sekiranya wang pampasan yang diberikan kepadanya itu cukup-cukup untuk Ujang menjalani hidup-hidup harinya untuk ke tua?

Saya tertanya lagi, apakah rasanya Kak Leha - isteri Wak Stop, Ainon - anak gadis Wak Stop, ahli keluarga Mamat, ibu Majid, dan isteri lelaki Tiongha itu setelah mengetahui bahawa manusia yang mereka cintai itu sudah tenggelam di kambus tanah? Apakah masih dapat Kak Leha dan Ainon mematikan kesedihan mereka demi Wak Stop? Apakah ahli keluarga Mamat akan merelakan perginya ia? Apakah ibu Majid akan berhenti menangis dan mengeluh apabila sudah tiba waktunya? Atau apakah isteri lelaki Tiongha itu akan cukup kuat membesarkan anak mereka yang masih kecil? Apakah dia akan menunaikan janji untuk meneruskan pejuangan melalui anak lelaki mereka itu?

Saya tertanya lagi, apakah keputusan Leman ini benar? Apakah dia tidak ragu-ragu lagi? Atau mungkin saya tertanya lagi, apakah perasaanya bila menikmati Nasi Merdeka dan mendengar suara letupan yang menggegar dari mulut seorang wanita di kongres AWAS, API?

Apakah perkerjaan Leman, apabila keluarnya dia dari polis? Pengarang? Pemberita? Atau sekadar penulis sampahan?

Saya tertanya, bahawa apa dunia ini sebentar sahaja?

Kerana setelah ke-berapa kalinya saya membaca tulisan Usman ini, saya masih ragu.

Adakah masih ramai lagi pembaca buku ini yang merasai perasaan yang serupa?

Apakah Haslina, yang merupakan peminjam yang pertama yang meminjam buku ini di sekolah dahulu, pada tahun 1993, akan merasai perkara yang sama? Dan di sudut peminjam yang terakhir, yang bertarikh ; 29.9.2000 - Aimi, akan merasakan perasaan yang serupa?

Apakah pencuri lain buku ini, seperti saya, di perpustakaan yang lain, akan merasa perasaan sedemikian? Apakah M.Firdaus, Fadhilla, Mazuin, Nur Hazrin, Mohd, Sham, NorLiza, Intan, Ruhaidah, Nur Ainil, M.Supiyan, Rosyade Sulaiman, serta Rozianna yang pernah meminjam buku ini sekitar 1993 hingga 2000 turut merasai keraguan yang sama?

Apakah mereka juga turut merasakan bahawa Leman itu ialah Usman dan Usman itu ialah Leman?

Dan sekiranya saya sempat berjumpa dengan mereka semua, saya teringin untuk duduk semeja dan berbincang lanjut-lanjutan tentang perkara ini, perkara yang merunsingkan saya.

Haish. Tuhan, pusingan ini, memeningkan.

Tiada ulasan: