Jumaat, 9 September 2011

Aloy Paradoks dan Nurul Asyikin.


Pasar Seni - KLAB 2010, saya sedang duduk menjual buku-buku dan zine alternatif di booth jualan. Di sebelah saya ketika itu ialah Ahmad Shafiq. Tidak silap saya, di hadapan kami waktu itu ialah Dila Raden. Dila dan Shafiq berbual. Tentang apa, saya lupa.

Dan beberapa ketika selepas itu, Dila ternampak sesusuk lelaki dan terus menjerit.

“Aloyyyyyyyyyyyyyyy,”

Saya ketika itu diam sahaja. Saya tidak kenal siapa Aloy yang dimaksudkan. Saat itu, apa yang saya faham tentang manusia bernama Aloy ialah seorang lelaki yang berambut panjang, yang sedang makan aiskrim. Dan dalam seketika itu, selepas kehadiran Aloy yang wajahnya tenang-tenang sahaja, ramai lagi kenalannya yang datang mengerumuninya dengan gelak tawa yang berpanjangan.

Saya cuba-cuba bertanya pada Shafiq, mengapa ramai yang ketawa dan berjenaka dengan lelaki bernama Aloy ini. Shafiq menjawab ringkas ;

“Sebab dia tak ikat rambut,”

Ohhhh, bilang saya, sambil memandang Aloy yang rambutnya lurus memanjang melebihi bahu.

Selepas dari itu, saya melupai sebentar siapa lelaki bernama Aloy ini. Sehinggalah pada suatu hari, saya melihat blog seseorang – yang saya sudah lupa siapa – menyiarkan video promo tentang sebuah buku – BURGERMPAK dari Aloy Paradoks, Rayza Mukmin dan Bias (waktu itu saya masih tidak tahu lagi apa itu Paradoks).

Bertitik-tolak dari situ, saya cuba mengkaji lebih dalam lagi siapakah susuk lelaki bernama Aloy Paradoks ini. Dan kemudiannya, baru lah saya tahu bahawa Aloy ini merupakan seorang pengarah, penggiat teater dan seorang penulis.

Aloy pernah mengarahkan beberapa teater ; Teater Hegemoni (saya tidak pasti tentang ejaan nama ini) dan Teater Merocok-rocok. Saya tidak sempat menyaksikan teater Hegemoni kerana pada waktu itu saya masih belum kenal sepenuhnya tentang Aloy. Teater arahannya yang saya sempat tonton hanya Teater Merocok-rocok sahaja. Dan bagi pendapat peribadi saya, teater itu cukup berjaya (ada juga komen dari penonton lain bahawa teater Hegemoni lebih berkesan mesejnya).

Teluk Cempedak – PLORE skala 3, saya diberi peluang untuk bersama dengan yang lainnya – Aloy sendiri, Kak Dib, dan yang lain-lain untuk bersembah di tepi pantai Teluk Cempedak. Pada waktu itu, saya tertarik dengan satu persembahan monolog oleh Aloy tentang seorang kanak-kanak lelaki yang mempunyai ayah yang cacat. Persembahan itu cukup membuatkan saya terdiam dan menarik seluruh perhatian saya untuk menontonnya terus-terusan hingga tamat. Saya percaya, semua penonton yang ada di situ juga berperasaan seperti saya – tertarik dan ditarik.

Dilain hari, saya selalu sahaja berjumpa dengan Aloy di majlis-majlis seni alternatif dan juga independen.

Pasar Seni – KLAB 2011, Aloy melancarkan satu lagi bukunya – KAU!. Dari cerita Aloy, tajuk buku ini adalah satu kontra untuk menjawab tajuk buku dari penyajak Indonesia, Chairil Anwar yang berjudul AKU. Pernah menonton Ada Apa Dengan Cinta? Ingat lagi buku berwarna merah yang selalu dibaca Rangga? Itu lah buku AKU dari Chairil Anwar. Jadi, apabila suatu hari nanti ada yang datang ke booth jualan buku dan bertanya pada Aloy ;

“Eh, ada buku AKU tak?”

Dan Aloy dengan senang hati (lagi-lagi jika pelanggan itu perempuan) akan menjawab ;

“AKU tak ada. KAU, ada,”

Selepas saya mendapatkan buku terbaru Aloy pada waktu itu, saya terus-terusan membaca ketika di dalam bas sewaktu dalam perjalanan ke Lendu, Melaka. Dan secara keseluruhannya, apabila tamat membaca, dan dari pemikiran seorang budak yang tidak tahu apa-apa tentang dunia, saya mentafsirkan bahawa tulisan Aloy ialah tulisan Aloy. Penulisan Aloy tidak sama seperti penulisan siapa-siapa. Mungkin dia ada meng-idola-kan seseorang dalam bidang penulisan. Tapi saya yakin, bahawa hasil karangannya tidak terpengaruh dengan hasil karangan penulis lain. Itu istimewanya tulisan Aloy.

Seorang kawan saya di kampus ada membaca KAU. Dia tidak suka penulisan Aloy. Katanya, cerpen-cerpen Aloy, tergantung. Jadi, dia tidak berapa suka-kan-nya. Hurm, kata saya. Bagi saya, cerita yang tergantung membuat pembaca berfikir. Aloy mungkin penulis yang bukan sekadar mahukan hasil tulisannya dibaca, dihadam, dan disimpan. Malah, Aloy mahukan pembacanya berkesempatan untuk berfikir dalam pembacaan karya nya. Tapi, semua orang ada selera masing-masing.

10 September, saya membuka laman sosial Facebook. Sufian Abas men-tag-kan satu gambar kepada saya. Dari gambar tersebut, saya yakin bahawa itu adalah kulit depan buku terbaru (lagi) Aloy. Sebuah novel yang bertajuk – Nurul Asyikin. Saya tidak pasti siapakah Nurul Asyikin di dalam realiti hidup Aloy. Kerana bagi saya, Aloy adalah seorang pengkarya yang suka bermimpi dalam realiti kehidupannya. Ya, bagaimana hendak menghasilkan sesuatu jalan cerita jika tidak banyak imaginasi, kan? Atau sebenarnya Nurul Asyikin ini ada di dalam dunia nyata, Cuma namanya sahaja yang diubahkan? Jawapan itu ada pada Aloy sendiri.

Saya belum lagi menjamah Nurul Asyikin. Maksud saya, membacanya. Menyentuh bukunya pun, belum. Tapi, saya berkeyakinan bahawa Nurul Asyikin ini pastilah sebuah novel yang menarik. Sangat menarik. Dan yang terus membuatkan tulisan-tulisan Aloy Paradoks menjadi sangat menarik buat saya, adalah bentuk karangannya. Bentuk karangan Aloy, cara penulisan Aloy, hanya Aloy sahaja yang ada. Dia punya sesuatu yang dipanggil - attitude.

Sekiranya sudah hilang aral yang melintang, dan berkesempatan membeli buku ini, saya tidak akan lupa untuk meminta tanda tangan Aloy. Mungkin suatu hari nanti tanda tangan Aloy akan menjadi sesuatu yang dikejar-kejarkan? Mungkin tanda tangan Aloy akan menjadi semasyhur lukisan Monalisa? Atau semahal wine tahun 1880-an?

Aloy adalah satu soalan yang tidak ada jawapan.

Untuk mengetahui cara membeli Nurul Asyikin, dan untuk memastikan Nurul Asyikin masih solo atau sudah berpunya, boleh ke laman Facebook ; Aloy Paradoks dan Sufian Abas.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

nurul asyikin tu nama sebenar aloy.

Yang benar.
Peminatgilababi Aloy.

hanaahmad berkata...

aku akan dapatkan Nurul Asyikin. pasti.

ORLANDO AHMAD berkata...

kencang kencang...

Tanpa Nama berkata...

babi la.

font bagila besar sikit.

petak daud. berkata...

Baru lah sakit mata, brader. Kehkehkeh.