Rabu, 30 November 2011

30 . 11 . 11

Dalam perutnya, ada seekor kucing. Milah - nama kucing itu. Milah ini manja. Setiap kali dia datang, Milah akan duduk di dinding perutnya, dan menggesel-geselkan bulunya ke dinding perut itu. Suka.

Tapi, bila satu hari Milah buat perangai - mencakar dinding perut itu sampai koyak, dia membuang Milah jauh-jauh. Aku benci Milah, katanya.

Tak lama kemudian, perutnya yang terkoyak dahulu lekas sembuh. Dan dari kesembuhan itu, dia meletakkan seekor anjing ke dalam perutnya. Anjing itu namanya - Ina. Ina ini garang. Tapi hatinya baik. Cuma sesekali tidak diberi makan, Ina akan melolong sekuat hati. Tapi setakat ini, lolongan yang panjang itu sekadar didengari oleh dirinya sahaja. Kerana dia tidak mahu menceritakan hal peribadi antara dirinya dan Ina kepada orang lain. Aku mampu, katanya.

Tapi, bila satu hari Ina buat perangai - membuang air kencing nya di dalam perut itu, dia membuang Ina jauh-jauh. Aku benci Ina, katanya.

Tak lama kemudian, perutnya yang hancing sudah hilang baunya. Dan dari keserian itu, dia meletakkan pula seekor ikan emas ke dalam perutnya. Ikan emas itu namanya - Zulaikha. Zulaikha ini pendiam. Tidak banyak bercakap. Semuanya dipendam. Sekiranya dia ada melakukan kesalahan, Zulaikha diam. Kalau dia ada melakukan kebaikan juga, Zulaikha masih diam. Tapi dia sayang Zulaikha. Zulaikha membuatkan perutnya geli apabila ikan emas sebesar separuh tapak tangan itu berenang-renang dalam perutnya. Dia suka.

Tapi, bila satu hari Zulaikha buat perangai - beromen dengan ikan emas yang lain dan menelurkan beberapa anaknya sendiri, dia membuang Zulaikha jauh-jauh. Aku benci Zulaikha, katanya.

Dan dari hari itu, perutnya sentiasa kosong. Tiada apa-apa. Dari jauh sekiranya dilihat, perut itu hanya ada satu lohong kosong, gelap, dan gersang tanpa kasih sayang.

Sebenarnya dia masih mahukan kerinduan seperti geselan Milah, mahu melihat Ina mengeluarkan lidah dengan gembira dan mahukan Zulaikha bergerak-gerak di dalam perutnya. Dia masih mahukan.

Tapi, dia sudah tidak lagi sanggup.

Sebenarnya dia masih belum serik. Tapi dia sudah tahu, pencinta ini, lebih banyak binatangnya dari manusia. Huh, dia mengeluh. Satu hari nanti, pasti aku jumpa lagi cinta yang benar-benar tak diragui, sambungnya.

Dan malam sudah semakin larut. Dia masih memeluk seekor kura-kura yang sedang menyorokkan kepala dan tangan serta kakinya ke dalam cengkerang. Oh ya. Zubaidah - nama kura-kura itu.

2 ulasan:

MaWar berkata...

best...tapi...
kurang faham...
kerana...
minda kian tumpul oleh ketuaan

hanaahmad berkata...

biasanya kita akan jumpa mereka yang salah sebelum yang sebenar-benarnya. percayalah. jagalah zubaidah elok2.